Nik Aziz: Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam

21 October 2010


KOTA BHARU, 21 Okt: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

Sumber Harakahdaily

Read more...

MTUC Tolak Dana Pencen Swasta

PETALING JAYA 20 Okt - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya tidak menyertai cadangan penubuhan Dana Pencen Swasta tahun depan kerana mendakwa pulangan terhadap pelaburan mereka itu kelak tidak dapat dijamin.

"Hasil pulangannya bergantung kepada kuasa pasaran dan ini adalah sangat berisiko untuk pencarum kerana mungkin mereka kehilangan semua simpanan mereka,"  kata Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasegaran.

Beliau berkata syarikat insurans telah melobi penubuhan dana tersebut sejak sekian lama dan MTUC telah menolaknya dengan disokong oleh Lembaga KWSP.

"Namun kini ia muncul kembali dengan pelobi insurans telah berjaya, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa kerajaan bersetuju untuk melantik syarikat-syarikat insurans mengurus dana berkenaan," katanya kepada Bernama.

Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah telah mengeluarkan kenyataan bahawa dividen KWSP akan dikurangkan secara beransur-ansur bagi menggalakkan pencarum melabur di dalam Dana Pencen Swasta.

Dalam Bajet 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta tahun depan bagi memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Beliau turut mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada dana itu termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

Rajasegaran berkata berikutan perkembangan terbaru berkenaan, MTUC akan melancarkan kempen secara agresif tidak lama lagi bagi menggalakkan pekerja supaya menolak dana pencen tersebut.

Sementara itu MTUC akan meminta untuk bertemu dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan soal dana tersebut dan kesan jangka panjangnya terhadap pekerja terutama tentang kebajikan masa tua mereka, katanya.

Read more...

Wang Ihsan : Mana Senarai Nama Warga Emas Dan Wang Yang dikembalikan

15 October 2010

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh, menggesa Umno Pulau Pinang supaya segera mengemukakan bukti tentang dakwaan mereka bahawa sebahagian besar warga emas menolak sumbangan wang penghargaan sebanyak RM100 sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini.

Menurutnya, jika sebelum ini Umno menjadikan warga emas sebagai alat untuk memperdayakan mereka bagi mendapat sokongan yang hilang terhadap mereka, maka adalah lebih baik bagi Umno mengemukakan bukti segera supaya tidak dilihat sebagai membohongi warga emas yang tidak bersalah.

"Sila kemukakan kepada kerajaan negeri dengan tepat butir-butir peribadi penerima serta surat akuan yang ditandatangani oleh warga emas sendiri membuktikan mereka sememangnya melakukannya dengan ikhlas untuk menarik diri dari menjadi penerima sumbangan tersebut.

"Sebaik saja kita menerima butir-butir yang telah sahih itu, maka nama mereka yang telah dikenal pasti akan dipotong dari senarai penerima. Kita tidak mahu maklumat yang diberikan tidak benar serta tidak langsung terdapat nama mereka dalam sistem yang direkodkan sebelum ini," ujarnya ketika mengulas tindakan sebahagian besar warga emas yang menunjukkan sokongan terhadap kerajaan negeri di Dewan Ahmad Badawi, Butterworth, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungei Puyu berkata, sepatutnya Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang hadir dalam sidang Dun yang lalu menjelaskan perkara yang benar kepada warga emas.

Namun begitu berlaku sebaliknya, apabila Azhar yang mengetahui mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah diluluskan dalam sidang Dun itu tidak menyatakan kebenaran tersebut.

"Sekiranya perkara yang sememangnya benar beliau ketahui dalam sidang Dun sendiri tidak dapat beliau nyatakan kebenarannya, maka bagaimana kita hendak mengharapkan beliau dapat memberi pembelaan yang sewajarnya kepada masyarakat yang diwakili oleh beliau," tegasnya lagi. -Hrkh





Anda mungkin juga meminati:

Read more...

Terima Kasih kerajaan PR Pulau Pinang

13 October 2010


BUTTERWORTH : Warga emas sekitar Seberang Perai Utara mengatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta meminta meneruskan program penghargaan kepada golongan veteran pada masa depan.

Seramai 70 orang warga emas yang datang dari Penaga, Kepala Batas, Bagan, Teluk Air Tawar, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pokok Sena, Lahar Yooi dan kawasan lain turut kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang tiba-tiba mengajak mereka mengembalikan RM100 dan RM1,000 untuk para waris jika terdapat kematian warga emas kononnya berpunca dari wang judi.

Bagi mereka, semua itu merupakan mainan politik jahat yang sengaja dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican yang menuduh pemberian wang pada pertengahan tahun ini berpunca dari wang Kelab Lumba Kuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man pula meminta warga emas usah terpengaruh dengan dakyah jahat pembangkang negeri ini yang sudah kehabisan modal.

Beliau berkata, sebenarnya wang itu adalah lebihan perbelanjaan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun ini sebanyak RM88 juta dan RM20 juta diperuntukkan kepada warga emas sebagai menghargai pengorbanan mereka terhadap kemajuan Pulau Pinang.

"Wang hasil pemberikan Lumba Kuda memang ada tapi ia tidak dimasukkan pada tabung sumbangan kepada warga emas sebaliknya digunakan untuk Rancangan Anti Kemiskinan (RAK) khas untuk masyarakat bukan Islam, " jelasnya lagi.

Seorang warga emas, Zainab Mat (kanan) dari Butterworth menyifatkan, apa yang diperjelaskan oleh kerajaan negeri cukup meyakinkan bahawa semua itu pembohongan.

"Bila datang mendengar sendiri keterangan yang disampaikan oleh Adun dan Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) baru tahu hal sebenar," ujarnya.

Bekas ahli Umno, Abu Bakar Said (kiri) dari Bagan Ajam pula menambah, di zaman BN tidak pernah berlaku ketua menteri melawat surau atau masjid tetapi berlaku di era kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Bila KM sendiri turun padang menziarahi umat Islam di samping memberikan penghargaan warga emas, ia satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Bagi Sambasivam (kanan) pula, kini baru beliau tahu hal sebenar mengenai perkara itu kerana selama ini mendengar sebelah pihak sahaja.

Sesi penerangan untuk menolak fitnah Umno itu diadakan di Bangunan Datuk Ahmad Badawi disampaikan oleh beberapa orang Adun termasuk Adun Bagan Dalam, Thanasekharan dan Adun Bagan Jermal, Lim Hock Seng.

Read more...

Blog Archive

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP