Rakyat desa berjimat, pemimpin bermewah

19 July 2010

Hasan Husaini  
Tanggal 4 Jun 2008, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kenaikan harga minyak yang memecahkan rekod kenaikan harga bahan bakar itu, petrol 78 sen dan RM1 bagi diesel. Mungkin itulah tanda terima kasih beliau kepada penyokong setia kerajaan dan mungkin juga sebagai ancaman kerana mempercayai janji Pakatan Rakyat. Walaupun alasan yang diberi ialah kerana kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ramailah yang bangkit menentang, berpiket dan menganjurkan tunjuk perasaan. Tidak kurang juga yang bersedia dengan pelan perancangan hidup baru, mungkin merancang untuk kembali menunggang motosikal, berbasikal atau bersunnah dengan menunggang kuda. Yang malang ialah mereka yang bersetuju malah membela keputusan kerajaan menaikkan harga emas cecair itu.

Pada 16 Julai 2010, harga barang naik lagi dengan alasan penyelarasan subsidi. Pelik benar. Andai penjimatan yang menjadi agenda utama, maka bukanlah pakcik dan makcik di kampung yang perlu diajak berjimat. Bahkan para pembesar nun di singgahsana yang wajib turun merasai bagaimana lazatnya nasi putih beras usang bersama ulam pucuk ubi kayu.

Saya menulis pada hari ini bukan untuk membahaskan dari sudut akademik atau politik jauh sekali dalam bidang ekonomi. Bahkan berpandukan pengalaman cetek ketika berkunjung di negara sejawatan dengan Malaysia sebagai pengeluar minyak, Arab Saudi. Harga minyak di Saudi jauh berbeza dengan harga di Malaysia. Rs10 mampu memulangkan lebih 20 liter petrol. Tak perlu beralasan bahawa kita membeli minyak dari luar. Yang penting negara kita adalah negara pengeluar minyak.

Bukan sekadar itu, negara kita juga terkenal dengan negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Di mana keuntungan semua itu? Di mana keuntungan sawit? Di mana keuntungan getah? Di mana keuntungan minyak mentah?

Maka untuk menutup kemarahan rakyat, PM pun mengarahkan media agar tidak menggunakan istilah harga barang naik. Kalimah itu digantikan dengan penyelarasan subsidi. Ustaz dan ustazah pula diarahkan menyelinap masuk dalam masyarakat sama ada dalam media elektronik, media cetak, malah terjun dalam dunia realiti ke kampung dan desa untuk menyampaikan ceramah dan forum supaya berjimat cermat. Maka berbondong-bondonglah ustaz dan ustazah hadhari tampil dengan upah yang tinggi, berkereta besar pergi berceramah ke kampung kepada pakcik dan makcik yang sudah puluhan tahun mengira biji beras, berjimat cermat untuk menjaga anak-anak yang bakal meneruskan hidup. Sedangkan panel penceramah, penganjur, ahli VIP yang hadir serta penganjur masih dalam dunia membazir.

Ketahuilah bahawa Allah tidak pernah sekali-kali mempersaudarakan manusia yang zalim dengan syaitan, kecuali kepada si pembazir, maka Allah berfirman (maksudnya), “ Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara bagi syaitan-syaitan”.

Suka untuk saya tegaskan pada hari ini, golongan yang patut ditegur ialah para pembesar negara yang secara zalimnya meletakkan beban kepada rakyat sedangkan mereka masih bersenang-lenang dengan pangkat dan harta yang bertimbun bahkan masih menerima elaun dan dividen serta keistimewaan yang keterlaluan.

Kenyataan seorang 'orang besar kerajaan' pada Jun 2008, "Tidak relevan memotong elaun menteri, bukan sampai bilion pun". Ya, memang rakyat tahu, elaun menteri tak sampai bilion, sebab itulah rakyat nak ia dipotong. Mana kesanggupan pemimpin untuk bersama rakyat kalau masih menikmati elaun?

Pada 17 Julai 2010, seorang menteri juga beralasan dengan cara yang tidak cerdik mengatakan bahawa tidak patut untuk negara membelanjakan RM1 bilion demi memberi subsudi kepada barangan yang boleh membawa penyakit.

Dalam usaha menjaga ekonomi negara, kerajaan lebih rela meletakkan beban yang berat ini ke atas rakyat bawahan yang cukup lemah. Sedangkan, dalam masa yang sama, sebuah istana bernilai hampir satu bilion ringgit sedang dibina. Walhal istana lama masih 100 kali lebih mewah dari rumah paling cantik di desa sana.

Saya amat tertarik dengan kisah Imam Nawawi yang dibuang negeri setelah beliau enggan untuk memberi fatwa untuk mengharuskan Raja Zahir mengambil harta rakyat untuk mencukupkan kelengkapan perang demi mempertahankan negara. Sekali imbas, patut bagi si raja untuk mengambil harta rakyatnya pada waktu itu. Tapi, kecerdikan Imam Nawawi tidak seperti ustaz dan ustazah hadhari yang mudah ditipu oleh ketamakan pemerintah.

Beliau berhujah bahawa beliau akan membenarkan si raja mengambil harta rakyat jika gedung kekayaan istana dikosongkan, gundik-gundik dibebaskan dan segala kemewahan ditinggalkan, namun kelengkapan perang masih belum mencukupi. Maka raja naik marah lantas membuang Imam Nawawi ke luar negeri.

Begitu juga dengan kisah seorang sahabat yang dihantar untuk menjadi gabenor di salah sebuah wilayah Islam. Maka apabila tiba musim pembahagian zakat, nama si gabenor tadi berada di tangga teratas senarai penerima zakat lantaran kemiskinan beliau kerana senantiasa meninggalkan kesenangan dan keperluan diri serta keluarga semata-mata untuk membantu rakyat jelata.

Samalah juga tentang apa yang berlaku pada Khalifah Umar Khattab yang terlebih dahulu mengorbankan kesenangan diri sebelum meminta rakyat berjimat cermat apabila tiba musim kemarau, musim Ramadh, selama hampir 9 bulan. Sepanjang temoh itu, Saidina Umar tidak memakan keju, meminum susu bahkan memakan daging. Rasulullah sendiri yang sememangnya menjadi contoh tauladan kepada umat Islam hidup dalam keadaan sederhana.

Itulah gaya sebenar seorang pemimpin. Terlebih dahulu mengorbankan kesenangan sendiri, bukan hanya dengan mudah meletakkan beban kepada rakyat. Sedangkan diri sendiri masih sempat untuk bermain golf, menunggang kuda, bercuti ke luar negara dengan dibiaya duit rakyat!

Bagaimana patut pemimpin negara berpesta dengan berhabis jutaan ringgit sedangkan rakyat miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tanpa apa-apa skim yang menaungi sedang mengikat perut membilang biji beras ekoran kenaikan harga gula dan kenaikan mendadak harga minyak.

Tertarik saya untuk mengikuti jejak langkah Imam Nawawi menegur pembesar negara supaya terlebih dahulu berjimat sebelum melepaskan beban itu kepada rakyat. Tinggalkan dahulu istana besar, kecilkan dahulu poket tebal menteri-menteri, hilangkan dahulu skim eksekutif dan eksklusif yang melindungi para menteri, jual dahulu saham-saham individu yang bernilai jutaan ringgit. Hilangkan dahulu sifat pentingkan diri para pembesar dengan mengosongkan garaj kereta mewah dan eksotik pembesar negara. Patutkah seorang pemimpin masih bermewah mengurniakan pangkat bermewah-mewah berpesta saat rakyat mereka menderita?

Bayangkan Datuk Seri Najib berucap supaya rakyat berjimat, sedangkan dia sejurus kemudian menyantap di meja mewah bersama orang-orang besar kerajaan? Dari mana duit untuk membayar makanan itu? Bukankah ianya hasil dari penjimatan pakcik dan makcik yang hanya makan nasi berulamkan pucuk ubi kayu? Bukankah lagi patut Datuk Seri Najib meniru gaya seorang MB yang hanya makan nasi goreng dalam polisterin?

Wahai rakyat Malaysia, sedarlah bahawa anda semua sedang diperbodohkan oleh pemimpin yang kamu junjung. Anda di desa telah puluhan tahun berjimat-cermat, sedangkan mereka masih sempat bermewah. Patutkah anda memilih mereka untuk kesekian kalinya?

Penulis adalah penuntut di Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Read more...

PAS Selangor: Melayu tetap berkuasa walaupun tanpa Umno

KUALA LUMPUR, 18 Julai — PAS Selangor menegaskan pendiriannya menolak sebarang pertemuan Umno-PAS sambil memberi jaminan kuasa Melayu tidak akan hilang jikapun Umno diketepikan dalam pilihan raya umum ke-13.

Oleh itu PAS Selangor pimpinan Datuk Dr Hasan Ali (gambar) berkata, parti itu dan PKR berupaya untuk memastikan kuasa akan kekal di tangan orang Melayu menerusi kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu, yang lebih jujur dan adil.

“Orang Melayu tidak akan hilang kuasa kalau pun Umno sudah tidak lagi memerintah negara ini,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada muktamad PAS 2008 dan 2009, Hasan yang juga Exco kerajaan negeri dan Pesuruhjaya PAS Selangor dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Roslan berkata, isu perpaduan Melayu yang kembali dijadikan agenda politik oleh Umno dipandang sudah tidak relevan oleh PAS Selangor.

“PAS Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan oleh Umno semata-mata untuk memecahbelahkan perpaduan erat dalama Pakatan Rakyat khususnya di negeri Selangor sejak Mac 2008 sehingga ke saat ini, di mana PAS Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.

Kata Roslan, orang Melayu di Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan PAS dalam memimpin mereka.

“Umno di Selangor semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan kepimpinan cemerlang kerajaan Pakatan Rakyat, Umno Selangor akan ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri,” jelas beliau.

Roslan juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS pelbagai peringkat termasuklah akar umbi kini sudah bersedia untuk mengambil alih saki baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang oleh Umno di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan masyarakat.

“PAS Selangor memberi jaminan kepada orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuatir kerana kiranya Umno hilang kuasa, maka kuasa politik itu akan diambil alih oleh PAS dan PKR,” katanya lagi.

Semalam, Harussan mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun Harussani berkata, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.

“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Read more...

Tuduhan Utusan-Umno Memakan Diri

14 July 2010

Penafian Cable News Network mengundang reaksi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution berkata penafian CNN ini membongkar strategi jahat Umno-BN yang terdesak mahu membunuh kerjaya politik Anwar Ibrahim.

" Barangkali UMNO-Barisan Nasional terlupa, sepanjang penglibatan Anwar dalam dunia politik beliau telah dilabel dan ditohmah dengan pelbagai gelaran. Semasa beliau sebagai aktivis belia, beliau dituduh sebagai agen Libya- agen Muammar Gaddafi. Kemudian selepas penyingkirannya dari kerajaan, beliau digelar sebagai pengkhianat negara, itu oleh Tun Dr Mahathir. Pengkhianat ini kalau ikut undang-undang negara hukumnya mati. Kemudian beliau dituduh sebagai agen asing, agen Yahudi, perpecah belah perpaduan Melayu, alat tunggangan kepada DAP dan yang terbaru ialah agen CIA," jelas Saifuddin.

Utusan Malaysia pada 9 Julai lalu memuatkan laporan "Anwar didakwa bayar CNN". Laporan berkenaan berkata penulis mendakwa Anwar telah mengupah Cable News Network untuk mewawancara beliau.

Selang beberapa hari kemudian, pada 11 Julai, Utusan sekali lagi mencetuskan kontroversi. Kali ini memetik penulis blog, Elaine Meinel Supkis yang menurut Utusan mendakwa Anwar adalah alat CIA.

Namun ujar Saifuddin, dalam keghairahan menyerang peribadi Anwar, malang bagi UMNO-Barisan Nasional senjata telah memakan tuannya.

"Tidak mungkin satu peribadi itu menjadi agen kepada banyak pihak yang berbeda-beda," kata Saifuddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa lucu dengan media milikan kerajaan yang sewenang-wenangnya memetik sumber yang tidak diragui kesahihannya.

Walhal baru-baru ini sahaja kerajaan berhasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khusus menangani penyebaran berita palsu.

"Utusan Malaysia ketika memainkan isu ini mengambil dari sebuah blog kononnya, yang dijadikan sebab dan alasan untuk mengambil tindakan terhadap Anwar Ibrahim. 24 jam bertalu-talu media milik BN melabel Anwar talit-barut CIA," kata Zulkefly.

"Bagaimana pula dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat pengendali Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin yang telah lama menyatakan keterlibatan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu. Mengapa kerajaan membisu?" tambah beliau.

"Saya kira CNN dan Datuk Seri Anwar perlu menyaman kesemua media-media ini dan peribadi-peribadi yang secara keterlaluan membuat serangan kepada peribadi beliau yang tidak perlu seya sebutkan betapa jelik dan buruknya kecaman-kecaman itu," katanya lagi.

Sementara itu pemimpin lain berpendapat bahawa adanya usaha terancang untuk menyerang keperibadian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan.

"Itu menandakan bahawa apa yang berlaku pada hari ini khususnya apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang dirancang, sesuatu yang mereka cuba ambil kesempatan di atas apa sahaja isu tanpa mereka mengambil kira kebenaran fakta itu," kata Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa.

"BN yang tidak dapat menafikan mereka membayar APCO RM77 juta, mereka tidak dapat menafikan fakta itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub.

Read more...

MEDIA DIBERI MAKLUMAT SALAH MENGENAI PERLOMBONGAN HARAM DI KUALA LANGAT

SHAH ALAM: Laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta-fakta yang diberikan kepada media adalah salah.

Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) pasti gambar ini diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, bukannya di Bukit Canggang.

Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.

Kelulusan dari jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.

Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB. Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands.

Syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.

KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar. Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG.

Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.

Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.

Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.

Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya 10 juta tan pasir bernilai RM220 juta sepertia yang dilaporkan akhbar.

Adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.

Kerajaan Negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir. Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian.

Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.

Kita juga berharap pihak media lebih berhati-hati dengan fakta yang diberikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan Negeri akan terus menambah baik perlombongan pasir yang menjadi sumber untuk agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

YAB TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Read more...

Kalau Anwar Ejen/Alat CIA, BN Pula APa ?

12 July 2010

Anwar dituduh sebagai alat atau ejen CIA oleh media arus perdana berdasarkan tulisan seorang penulis blog barat yang menuduh Anwar bersifat demikian. Dalam keadaan terkapai-kapai Umno/BN mencari apa sahaja hujah dan fakta untuk memburuk-buruk Anwar bagi mencari ‘political mileage’. Dalam usaha mereka untuk mempertahankan diri kerana terbukti mengambil APCO sebagai penasihat mereka, Umno/BN terpaksa menuduh Anwar menjadi Ejen/Alat CIA bagi menggambarkan bahawa sebenarnya Anwarlah kawan baik dan talibarut Yahudi bukannya Umno/BN.

Pelbagai cerita direka untuk menghalalkan fitnah mereka. Kalau mereka boleh memfitnah Anwar dalam kes liwat pertama dahulu tidak mustahil mereka akan membuat apa juga fitnah untuk mengaburi mata rakyat. Liwat dan zina pun mereka boleh tuduh (tuduhan/fitnah berat di sisi Islam) apalah sangat dengan tuduhan ejen/alat CIA sudah tentu mereka tidak kisah untuk melakukannya.Halal dan Haram bukannya mereka ambil kira.

Utusan Malaysia semalam meneruskan serangan terhadap Anwar Ibrahim dalam laporannya - kali ini akhbar itu memetik tulisan seorang penulis blog - yang mendakwa ketua umum PKR itu adalah "alat" kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Dalam edisi Ahadnya - Mingguan Malaysia - memetik tulisan Elaine Meinel Supkis, yang digambarkannya sebagai "seorang penulis blog terkemuka", mendedahkan bahawa Anwar merupakan "alat" CIA .

Akhbar tersebut menterjemah tulisan Elaine dalam blog - Culture of Life News - seperti berikut: "Anwar bukan ejen tetapi alat yang dicipta oleh CIA. Senarai rakan-rakan membuktikan segala-galanya dan merupakan ejen CIA yang menyamar." Ternyata tidak ada bukti konkrit boleh mengaitkan Anwar dengan tuduhan sebagai Ejen/Alat CIA.
Apa yang pasti sehingga ini Umno/BN gagal menafikan secara jelas bahawa mereka membelanjakan RM78 juta untuk APCO menaikkan imej Umno/BN dan pemimpinnya. Malah di dalam parlimen sendiri Umno/BN tidak dapat menafikannya apabila ditanya oleh Ahli Parlimen PR.

Oleh kerana gagal menjawab isu ini maka Umno/BN mencari helah untuk sebaliknya menuduh Anwar sebagai alat atau ejen CIA. Bagi blog ini mudah sahaja untuk menangani isu ini heret Anwar ke muka pengadilan jika benar beliau seorang pengkhianat dan pembelot kepada Negara dengan menjadi ejen atau alat CIA.

Selepas ini sudah pasti lebih banyak fitnah dan tuduhan akan dilemparkan kepada Anwar bagi memburuk-burukkan Anwar dan Pakatan Rakyat. Bukan Anwar sahaja tetapi semua pimpinan PR akan menghadapi tuduhan dan fitnah semacam ini.
Semua ini sebenarnya merupakan dalil dan tanda bahawa Pilihanraya Umum semakin hampir dan kita mesti bersiap siaga untuk meneruskan program mendekati dan memenangi hati rakyat.

Read more...

Blog Archive

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP