Showing posts with label Tvselangor News. Show all posts
Showing posts with label Tvselangor News. Show all posts

Menteri: Subsidi Tol Akan Dikurangkan

29 March 2010


Peringkat pertama kajian penstrukturan semula kadar tol lebuh raya telah selesai dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kini dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan serta syarikat konsesi lebuh raya berhubung perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata keutamaan sekarang ini adalah mengurangkan subsidi dikurangkan supaya ia tidak membebankan kerajaan.

"Objektif kerajaan adalah untuk mengurangkan subsidi kerana ketika ini subsidi telah menjadi jumlah yang besar dan pada masa yang sama kita mahu memastikan ia tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata pelbagai aspek perlu diteliti sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu kerana ia melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pengguna dan syarikat konsesi.

"Syarikat konsesi ini pula terdiri daripada beberapa kategori sama ada (beroperasi) di kawasan bandar dan luar bandar, ada yang berjaya buat keuntungan dan ada yang tidak.

"Pada masa yang sama, pandangan rakyat juga perlu diambil kira, sebab itu kerajaan perlu membuat tindakan yang betul sebelum membuat sebarang keputusan dan ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Pada April tahun lepas, kerajaan mengarahkan EPU supaya mencari satu penyelesaian komprehensif untuk menangani isu kenaikan tol yang perlu dilakukan setiap tiga tahun.

Kajian itu merangkumi semua aspek berkaitan tol termasuk segala perjanjian terlibat dan kesan terhadap ekonomi ketika merangka cadangan itu.

Read more...

Halimah: Lengkapi Iman Untuk Kecap Kemajuan

28 March 2010

SHAH ALAM, 28 MAC - Umat Islam negeri Selangor perlu melengkapkan keimanan mereka jika mahu mencapai kemajuan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata demikian semasa merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil Masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Syah Sesi 2009, kali ke-9 hari ini.

Majlis Konvokesyen ini diadakan bagi meraikan pelajar yang menamatkan pengajian berasaskan bahasa arab, al-quran dan hadis di masjid ini.

Lebih 400 pelajar menamatkan pengajian mereka tahun ini meliputi pengajian Talaqi, Taranum, Bahasa Arab dan Syariah.

Seramai 750 pelajar mengikuti program Pengajian Bersijil di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Syah.

Dalam ucapannya, Halimah risau dengan keadaan umat Islam di negeri ini yang kerap dikaitkan dengan gejala sosial walaupun negeri ini mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi.

"Kamu cegah kemungkaran, tak boleh buat perkara makruf sahaja, buat jalanraya, buat longkang adalah makruf, buat telefon, buat wi-fi adalah makruf dan tak boleh macam tu sahaja, kena cegah kemungkaran. Ada diantara orang Islam sendiri merupakan juara gejala sosial dan jenayah,"katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan acara penganugerahan.

Anugerah Kehormat diberi kepada Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, manakala Anugerah Tokoh Ilmuan disampaikan kepada Datuk Abdul Majid Omar.

Read more...

Hampir 10,000 Rakyat Penuhi Stadium Mini Kuala Kubu Bharu

27 March 2010

KUALA KUBU BHARU 27 MAC: Hampir 10,000 rakyat pelbagai kaum memenuhi Stadium Mini Kuala Kubu Baru malam semalam bagi mendengar penerangan mengenai kempen Selamatkan Malaysia yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kubu Kubu Baru terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia akibat barah otak, kelmarin.

Kempen itu sebenarnya diatur sebelum pemergian Dr Zainal Abidin yang uzur selepas menang pilihan raya umum ke-12 dan kebetulan berlangsung ketika di ambang pilihan raya kecil.

Selain ucapan takziah kepada Allahyarham, pimpinan Pakatan Rakyat menyentuh isu kepentingan negara, antaranya isu kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM, penyelewengan kontrak kapal selam Scorpene, gejala rasuah dan sebagainya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Pengarah Strategik PKR, Tian Chua antara yang berucap dalam majlis itu

Selain mereka, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San dari DAP turut menyampaikan ceramah.

Malah, dua aktivis utama Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu T Vasanthakumar dan V Ganabatirau juga hadir dalam ceramah tersebut.

Read more...

Blog Archive

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP