Showing posts with label Ehwal Semasa. Show all posts
Showing posts with label Ehwal Semasa. Show all posts

Saya akan saman - Zakaria

25 August 2010

PULAU PINANG, 25 Ogos: Ustaz Zakaria Ahmad (gambar)  akan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah menjadikan isu bacaan doa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di dalam khutbah Jumaat untuk memfitnah beliau.

“Saya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah menjadikan isu ini untuk memfitnah saya. Tindakan menyaman mereka yang terbabit sedang dalam proses oleh pihak peguam yang telah saya lantik bagi memfailkan kes ini.

“Ini melibatkan maruah saya. Mana boleh mereka sesuka hati melemparkan fitnah sedemikian,” tegasnya kepada Harakahdaily selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), semalam.

Katanya,  apa yang amat dikesalkan ialah isu itu dipolitikkan oleh sesetengah ahli politik untuk jadikan modal politik.

“Diperbesarkan isu sekecil ini semata-mata untuk menyalahkan pihak lain. Ia kini sudah jadi satu isu yang serius. Saya tak boleh biarkan perkara ini disalah tafsirkan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Maipp, Mohd Saleh Man menjelaskan tidak menjadi satu kesalahan kepada sesiapa sahaja yang mendoakan kepada orang bukan Islam untuk diberikan hidayah kepada mereka sama ada dalam khutbah atau pun di luar khutbah.

Menurut nya, dalam isu yang melibatkan Zakaria selaku pendakwah bebas yang didakwa membacakan doa khutbah Jumaat menyebut nama ketua menteri tidak harus dijadikan isu politik oleh mereka yang faham akan sejarah penyebaran agama Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi.

"Pada zaman penyebaran Islam oleh Rasulullah s.a.w. baginda pernah mendoakan supaya orang bukan Islam diberi hidayah untuk memeluk Islam. Oleh kerana itu isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana ia mencemarkan imej baik Islam pada kaca mata masyarakat lain.

"Doa untuk orang bukan Islam itu dibolehkan agar mereka diberi petunjuk dan hidayah,bukannya mendoakan kesejahteraan mereka. Manakala Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri kita hormati selaku ketua agama Islam di dalam negara dan juga negeri," katanya yang juga Adun Permatang Pasir.

Beliau berkata, isu itu tidak harus diperbesarkan lagi setelah Zakaria membuat pengakuan dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri, semalam.

sumber harakahdaily

Read more...

Pemuda PAS sambut baik Pemuda Gerakan bincang hudud

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyambut baik kesediaan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang  yang telah memberikan persetujuan untuk mengadakan perbincangan bersama berkaitan dengan hudud.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kenyataan Keng Liang hadir setelah DPPP mengeluarkan satu kenyataan media sebelum ini yang telah menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan mana-mana pihak bagi mendapatkan penjelasan mengenai hudud.

“Kenyataan beliau mengenai hudud yang tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia yang telah disiarkan di dalam laman web Malaysiakini sebelum ini telah mendapat perhatian DPPP apabila beliau telah mengulas berkaitan dengan kesediaan untuk mengadakan pertemuan tersebut melalui laman Facebook,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, katanya, Keng Liang telah menegaskan yang PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah telah diperuntukan di bawah Kanun Keseksaan yang sedia ada.

Antara kenyataan beliau lagi: ‘Negara kita, yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama, telah kian lama menolak perlaksanaan hukum hudud. Antara hukum hudud adalah hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina’.

DPPP, kata Khairul Faizi menghormati pandangan itu yang mana DPPP percaya ianya telah dikongkong oleh kekurangan ilmu dan maklumat tentang hukum hudud serta ditambah lagi dengan gambaran negatif yang telah dikemukakan oleh pemimpin Umno sebelum daripada ini tentang kononnya undang-undang hudud zalim dan sudah tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang.

“DPPP akan mengaturkan pertemuan dengan beliau dalam masa terdekat dan dijangkakan pertemuan tersebut akan berlaku selepas bulan Ramadhan ini.

“DPPP melihat langkah yang dibuat oleh Tan Keng Liang amat bertepatan sama sekali dan amat wajar dicontohi oleh pemimpin-pemimpin yang masih kabur dan bimbang dengan undang-udang hudud ini,” ujarnya lagi.

DPPP juga, katanya ingin mendapatkan gambaran daripada beliau tentang hukum hudud daripada pandangannya.

“Mudah-mudahan pertemuan ini akan mencambahkan pemikiran dan segala kekeliruan berkaitan isu ini dapat dileraikan dan kemudiannya dapat melihat betapa indah dan adilnya hukum yang Allah SWT tetapkan kepada manusia demi menjaga kesucian, keharmonian dan peradaban sesama makhluk ciptaan Allah,” ujar Khairul Faizi lagi.

Sumber harakahdaily

Read more...

LGE ganti Agong: PR P.Pinang kutuk Umno

23 August 2010

GEORGE TOWN, 22 Ogos: Mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini memutuskan mengutuk keras tindakan Umno memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah Jumaat.

Tindakan tersebut disifatkan amalan politik kotor dan jahat Umno dan media massa yang dikuasai mereka bagi memfitnah kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Kami menafikan dengan keras dakwaan Umno kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri", kata mereka dalam satu kenyataan bersama.  

Permainan politik oleh Umno itu juga karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat sahaja berani menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama lain.

Kenyataan tersebut ditandatangan oleh Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dato Mansor Othman, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosidi Hussain.

Turut serta pada mesyuarat yang dipengerusikan Lim Guan Eng itu, Ahli Exco Negeri Pulau Pinang yang memegang portfolio agama Islam, Abdul Malik Kassim.

Mereka turut mendesak Umno mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib atau imam masjid yang dapat dibuktikan telah mengubah doa tersebut.

"Kita mendesak BN dan Umno hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam dan khatib.

Mereka juga melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu mereka juga melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Mereka turut menyatakan komitmen menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Tindakan umno itu juga jelas mereka bagi mengalihkan pandangan rakyat dari kebaikan yang dibuat kerajaan negeri.

Antaranya meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas.

Selain itu menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.

Sumber Harakahdaily

Read more...

Guan Eng Tak Tahu Nama Disebut Dalam Doa Khutbah

20 August 2010

Dari Harakah Daily
Oleh Dzulfikar Mashoor

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengaku bahawa beliau sendiri tidak mengetahui yang namanya disebut dalam doa dan khutbah Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Saya tidak sedar dan tidak mengetahui wujudnya penggunaan nama saya dalam khutbah kedua (sebelum) solat Jumaat sebagaimana didakwa, maka sudah tentu nama saya tidak harus (atau) tidak boleh digunakan,” ujarnya petang tadi pada majlis berbuka puasa bersama wartawan media-media alternatif di sebuah restoran di sini, malam ini.

Baginya, dakwaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bermotif politik provokasi.

“Saya pun hairan bagaimana hanya masjid tertentu di Kepala Batas dan Tasek Gelugur saja yang berlaku demikian,” soalnya sambil tidak menolak kemungkinan isu tersebut sebagai provokasi pihak tertentu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan Abdul Malik Kassim, Exco kerajaan negeri untuk menyiasat isu yang ditiupkan oleh Ahmad Zahid dan Umno itu.

“Saya pun baru tahu, saya sudah menghubungi YB Abdul Malik dan saya diberitahu bahawa memang tidak tahu perkara seperti yang didakwa Datuk Zahid Hamidi,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sehubungan itu, beliau mencabar Ahmad Zahid mengemukakan bukti ekoran dakwaan berunsur provokasi itu.

Beliau turut menasihatkan Ahmad Zahid kembali bertaubat sempena kemuliaan bulan Ramadhan ini sekiranya dakwaannya itu adalah tidak benar.

Terdahulu, Bernama melaporkan Umno negeri memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang pada bacaan doa dan khutbah Jumaat bagi menggantikan penggunaan nama Tuanku Mizan.

Ahmad Zahid sendiri menuduh, penggunaan nama Guan Eng itu dikesan di beberapa masjid tertentu sejak beberapa minggu lepas.

Dijangkakan Guan Eng bakal menghadapi pelbagai cabaran lagi ekoran komitmennya mahu melihat rakyat tanpa berbilang kaum menikmati hidup yang lebih baik berbanding era Umno BN memerintah Pulau Pinang.

Read more...

Rakyat desa berjimat, pemimpin bermewah

19 July 2010

Hasan Husaini  
Tanggal 4 Jun 2008, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kenaikan harga minyak yang memecahkan rekod kenaikan harga bahan bakar itu, petrol 78 sen dan RM1 bagi diesel. Mungkin itulah tanda terima kasih beliau kepada penyokong setia kerajaan dan mungkin juga sebagai ancaman kerana mempercayai janji Pakatan Rakyat. Walaupun alasan yang diberi ialah kerana kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ramailah yang bangkit menentang, berpiket dan menganjurkan tunjuk perasaan. Tidak kurang juga yang bersedia dengan pelan perancangan hidup baru, mungkin merancang untuk kembali menunggang motosikal, berbasikal atau bersunnah dengan menunggang kuda. Yang malang ialah mereka yang bersetuju malah membela keputusan kerajaan menaikkan harga emas cecair itu.

Pada 16 Julai 2010, harga barang naik lagi dengan alasan penyelarasan subsidi. Pelik benar. Andai penjimatan yang menjadi agenda utama, maka bukanlah pakcik dan makcik di kampung yang perlu diajak berjimat. Bahkan para pembesar nun di singgahsana yang wajib turun merasai bagaimana lazatnya nasi putih beras usang bersama ulam pucuk ubi kayu.

Saya menulis pada hari ini bukan untuk membahaskan dari sudut akademik atau politik jauh sekali dalam bidang ekonomi. Bahkan berpandukan pengalaman cetek ketika berkunjung di negara sejawatan dengan Malaysia sebagai pengeluar minyak, Arab Saudi. Harga minyak di Saudi jauh berbeza dengan harga di Malaysia. Rs10 mampu memulangkan lebih 20 liter petrol. Tak perlu beralasan bahawa kita membeli minyak dari luar. Yang penting negara kita adalah negara pengeluar minyak.

Bukan sekadar itu, negara kita juga terkenal dengan negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Di mana keuntungan semua itu? Di mana keuntungan sawit? Di mana keuntungan getah? Di mana keuntungan minyak mentah?

Maka untuk menutup kemarahan rakyat, PM pun mengarahkan media agar tidak menggunakan istilah harga barang naik. Kalimah itu digantikan dengan penyelarasan subsidi. Ustaz dan ustazah pula diarahkan menyelinap masuk dalam masyarakat sama ada dalam media elektronik, media cetak, malah terjun dalam dunia realiti ke kampung dan desa untuk menyampaikan ceramah dan forum supaya berjimat cermat. Maka berbondong-bondonglah ustaz dan ustazah hadhari tampil dengan upah yang tinggi, berkereta besar pergi berceramah ke kampung kepada pakcik dan makcik yang sudah puluhan tahun mengira biji beras, berjimat cermat untuk menjaga anak-anak yang bakal meneruskan hidup. Sedangkan panel penceramah, penganjur, ahli VIP yang hadir serta penganjur masih dalam dunia membazir.

Ketahuilah bahawa Allah tidak pernah sekali-kali mempersaudarakan manusia yang zalim dengan syaitan, kecuali kepada si pembazir, maka Allah berfirman (maksudnya), “ Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara bagi syaitan-syaitan”.

Suka untuk saya tegaskan pada hari ini, golongan yang patut ditegur ialah para pembesar negara yang secara zalimnya meletakkan beban kepada rakyat sedangkan mereka masih bersenang-lenang dengan pangkat dan harta yang bertimbun bahkan masih menerima elaun dan dividen serta keistimewaan yang keterlaluan.

Kenyataan seorang 'orang besar kerajaan' pada Jun 2008, "Tidak relevan memotong elaun menteri, bukan sampai bilion pun". Ya, memang rakyat tahu, elaun menteri tak sampai bilion, sebab itulah rakyat nak ia dipotong. Mana kesanggupan pemimpin untuk bersama rakyat kalau masih menikmati elaun?

Pada 17 Julai 2010, seorang menteri juga beralasan dengan cara yang tidak cerdik mengatakan bahawa tidak patut untuk negara membelanjakan RM1 bilion demi memberi subsudi kepada barangan yang boleh membawa penyakit.

Dalam usaha menjaga ekonomi negara, kerajaan lebih rela meletakkan beban yang berat ini ke atas rakyat bawahan yang cukup lemah. Sedangkan, dalam masa yang sama, sebuah istana bernilai hampir satu bilion ringgit sedang dibina. Walhal istana lama masih 100 kali lebih mewah dari rumah paling cantik di desa sana.

Saya amat tertarik dengan kisah Imam Nawawi yang dibuang negeri setelah beliau enggan untuk memberi fatwa untuk mengharuskan Raja Zahir mengambil harta rakyat untuk mencukupkan kelengkapan perang demi mempertahankan negara. Sekali imbas, patut bagi si raja untuk mengambil harta rakyatnya pada waktu itu. Tapi, kecerdikan Imam Nawawi tidak seperti ustaz dan ustazah hadhari yang mudah ditipu oleh ketamakan pemerintah.

Beliau berhujah bahawa beliau akan membenarkan si raja mengambil harta rakyat jika gedung kekayaan istana dikosongkan, gundik-gundik dibebaskan dan segala kemewahan ditinggalkan, namun kelengkapan perang masih belum mencukupi. Maka raja naik marah lantas membuang Imam Nawawi ke luar negeri.

Begitu juga dengan kisah seorang sahabat yang dihantar untuk menjadi gabenor di salah sebuah wilayah Islam. Maka apabila tiba musim pembahagian zakat, nama si gabenor tadi berada di tangga teratas senarai penerima zakat lantaran kemiskinan beliau kerana senantiasa meninggalkan kesenangan dan keperluan diri serta keluarga semata-mata untuk membantu rakyat jelata.

Samalah juga tentang apa yang berlaku pada Khalifah Umar Khattab yang terlebih dahulu mengorbankan kesenangan diri sebelum meminta rakyat berjimat cermat apabila tiba musim kemarau, musim Ramadh, selama hampir 9 bulan. Sepanjang temoh itu, Saidina Umar tidak memakan keju, meminum susu bahkan memakan daging. Rasulullah sendiri yang sememangnya menjadi contoh tauladan kepada umat Islam hidup dalam keadaan sederhana.

Itulah gaya sebenar seorang pemimpin. Terlebih dahulu mengorbankan kesenangan sendiri, bukan hanya dengan mudah meletakkan beban kepada rakyat. Sedangkan diri sendiri masih sempat untuk bermain golf, menunggang kuda, bercuti ke luar negara dengan dibiaya duit rakyat!

Bagaimana patut pemimpin negara berpesta dengan berhabis jutaan ringgit sedangkan rakyat miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tanpa apa-apa skim yang menaungi sedang mengikat perut membilang biji beras ekoran kenaikan harga gula dan kenaikan mendadak harga minyak.

Tertarik saya untuk mengikuti jejak langkah Imam Nawawi menegur pembesar negara supaya terlebih dahulu berjimat sebelum melepaskan beban itu kepada rakyat. Tinggalkan dahulu istana besar, kecilkan dahulu poket tebal menteri-menteri, hilangkan dahulu skim eksekutif dan eksklusif yang melindungi para menteri, jual dahulu saham-saham individu yang bernilai jutaan ringgit. Hilangkan dahulu sifat pentingkan diri para pembesar dengan mengosongkan garaj kereta mewah dan eksotik pembesar negara. Patutkah seorang pemimpin masih bermewah mengurniakan pangkat bermewah-mewah berpesta saat rakyat mereka menderita?

Bayangkan Datuk Seri Najib berucap supaya rakyat berjimat, sedangkan dia sejurus kemudian menyantap di meja mewah bersama orang-orang besar kerajaan? Dari mana duit untuk membayar makanan itu? Bukankah ianya hasil dari penjimatan pakcik dan makcik yang hanya makan nasi berulamkan pucuk ubi kayu? Bukankah lagi patut Datuk Seri Najib meniru gaya seorang MB yang hanya makan nasi goreng dalam polisterin?

Wahai rakyat Malaysia, sedarlah bahawa anda semua sedang diperbodohkan oleh pemimpin yang kamu junjung. Anda di desa telah puluhan tahun berjimat-cermat, sedangkan mereka masih sempat bermewah. Patutkah anda memilih mereka untuk kesekian kalinya?

Penulis adalah penuntut di Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Read more...

MEDIA DIBERI MAKLUMAT SALAH MENGENAI PERLOMBONGAN HARAM DI KUALA LANGAT

14 July 2010

SHAH ALAM: Laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta-fakta yang diberikan kepada media adalah salah.

Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) pasti gambar ini diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, bukannya di Bukit Canggang.

Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.

Kelulusan dari jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.

Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB. Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands.

Syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.

KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar. Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG.

Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.

Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.

Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.

Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya 10 juta tan pasir bernilai RM220 juta sepertia yang dilaporkan akhbar.

Adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.

Kerajaan Negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir. Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian.

Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.

Kita juga berharap pihak media lebih berhati-hati dengan fakta yang diberikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan Negeri akan terus menambah baik perlombongan pasir yang menjadi sumber untuk agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

YAB TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Read more...

Terkini: ADUN Malim Nawar keluar DAP

15 June 2010

Ahli dewan undangan negeri Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh dari DAP hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti itu.Keshvinder berkata, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP kerana kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri Perak yang terlalu banyak berpolitik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang, sebentar tadi.Pada pilihan raya negeri 2008, Keshvinder Singh mengalahkan calon Barisan Nasional Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi.
Dengan keputusan itu, bilangan pembangkang di dewan undangan negeri Perak sekarang ini adalah 27 orang berbanding 28 yang dikuasai oleh Barisan Nasional manakala wakil Bebas pula adalah 4 orang.

Read more...

Blog Archive

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP